PESANAN LUQMANUL HAKIM

1. Hendaklah engkau selalu berada di majlis para ulama' dan dengarlah
kata-kata para hukama (orang yang bijaksana), kerana Allah
menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sepertimana menghidupkan
bumi yang mati dengan hujan yang lebat.


2. Janganlah engkau jadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan, ia
telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu
masih terbaring di atas katilmu.


3. Janganlah engkau menangguhkan taubat kepada Allah kerana mati itu
akan datang tiba-tiba.


4. Dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak orang sudah
ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya.


5. Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air menyirami tanaman.


6. Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan.
Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah, orang yang berani
melainkan ketika berperang dan saudara maramu melainkan ketika engkau
berhajat dan memerlukan pertolongan daripadanya.


7. Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan seluruh umurmu
lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih berbakti lagi
amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.


----------------------------------------------------------


AQIDAH
Masalah aqidah adalah masalah yang paling penting dalam kehidupan
seorang muslim. Ia merupakan asas atau tapak bagi pembangunan Islam.
Dewasa ini kita dapati banyak penyelewengan terjadi sama ada dari segi
pemikiran, perkataan mahupun tingkah laku. Kesemuanya berpunca
daripada tidak memahami aqidah Islam secara mendalam.

Firman Allah yang bermaksud:


"Dan ingatlah sewaktu Luqman berkata kepada anaknya: "Wahai anak
kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu
yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman
yang besar."(Surah Luqman: 31).


----------------------------------------------------------


SOLAT


Firman Allah bermaksud:
"Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat." (Surah Luqman: 17). Islam
memberikan keutamaan yang sangat besar kepada solat yang tidak pernah
diberikan kepada ibadat lain. Kerana ia adalah tiang agama,
sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Pokok pangkal sesuatu
adalah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad fi
sabillillah." Solat yang dikhendaki oleh Islam bukanlah sekadar
berkata-kata yang diucapkan oleh lidah dan pergerakan badan.
Tetapi solat yang sebenar adalah yang dilakukan dengan penuh perhatian
dan tumpuan pemikiran, penuh rasa takut dalam hati serta menzahirkan
keagungan dan kebesaran Allah, itulah solat yang diterima oleh Allah
SWT.


Dari segi kejiwaan, solat memberikan ketenangan dan kekuatan bagi jiwa
seseorang. Daripada segi kesihatan, ia mendidik seseorang supaya
menjaga kebersihan dan melatih badan agar sentiasa segar dan cergas.
Dari segi akhlak pula ia mencegah perbuatan mungkar dan menjaga waktu
manakala dan dari segi kemasyarakatan solat mendidik persamaan dan
persaudaraan.


----------------------------------------------------------


BERBAKTI KEPADA IBU BAPA


Firman Allah yang bermaksud:
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya,
ibunya mengandungkan dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan
tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun. "Bersyukurlah
kepadaKu dan kepada kedua ibu bapamu, kepada Ku jua tempatmu kembali."
(Surah Luqman: 41)
Ibu bapa mempunyai kedudukan yang paling istimewa. Mereka menduduki
tempat yang kedua sesudah beriman kepada Allah dan Rasulullah. Oleh
kerana itu, tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang dapat
menyamai kedua dua ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah wajib ke
atas setiap anak dalam apa jua keadaan sekalipun ia merupakan asas
terpenting dalam pendidikan Islam.
Manakala menderhaka kepada kedua ibu bapa adalah berdosa besar. Adalah
mudah bagi anak-anak yang sudah biasa terdidik atas sikap berbakti dan
menghormati kedua ibu bapa untuk dididik dan diasuh supaya menghormati
jiran tetangga, guru-guru dan seterusnya menghormati manusia
seluruhnya.


----------------------------------------------------------


SABAR
Kesabaran adalah suatu keperluan dalam usaha menegakkan keimanan,
melaksanakan amal soleh, memperjuangkan kebenaran dan keadilan.
Semuanya bukanlah suatu perkara yang mudah. Oleh itu, ia sangat
memerlukan kesabaran. Kesabaran dalam menghadapi hawa nafsu,
musuh-musuh luar dan kesusahan lain. Begitu juga kesabaran amat perlu
dalam menempuh jalan perjuangan yang amat panjang dan semestinya
mengikuti tahap-tahap yang teratur untuk menuju matlamat.


----------------------------------------------------------


JANGAN SOMBONG
Sifat takabur adalah lahir daripada perasaan bangga diri yang
merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain. Biasanya seseorang
yang takabur dikuasai oleh sifat-sifat buruk lain seperti taksub,
mudah marah, dendam dan hasad dengki. Sebaliknya, Islam menganjurkan
tawadduk kerana ia salah satu sifat terpuji yang amat digalakkan oleh
Islam. Kalau takabur menjadi punca pertelingkahan dan perbalahan, maka
tawaduk adalah pengikat yang menguatkan persaudaraan, mengukuhkan
perpaduan serta melahirkan keselamatan dan ketenangan.


----------------------------------------------------------


KESEDERHANAAN
Kesederhanaan menggambarkan ketenangan dan kesopanan tingkah laku.
Tenang dan sopan santun adalah buah daripada budi pekerti mulia yang
sangat dituntut oleh Islam. Begitu juga melembutkan suara ketika
bercakap adalah menjadi ukuran pekerti mulia.


----------------------------------------------------------


DAKWAH
Adalah menjadi fardhu ain bagi setiap muslim supaya melaksanakan tugas
menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Firman Allah bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada
kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang
mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung," (Surah Ali Imran:
104).


Pendidikan Luqman adalah pendidikan yang menyeluruh dan lengkap
meliputi asas-asas aqidah, ibadat, akhlak dan dakwah. Oleh sebab
itulah Allah telah merakamkan pendidikan Luqman itu untuk dijadikan
contoh kepada umat Islam sepanjang zaman.


diambil dari seorang sahabat dari Mesir