Bukan mudah untuk menjaga rahsia dan juga menjaga amanah. Kerana rahsia atau amanah itu adalah perkara paling berat dalam kehidupan kita. Begitu juga apabila sesuatu kepercayaan yang telah diletakkan kepada seseorang kepada kita, kepercayaan itu harus digengam erat tanpa sedikit pun perasaan untuk meleraikannya. Sekali kita cuba meleraikannya, seumur hidup kepercayaan itu tidak akan digalang lagi kepada kita.

Bukan mudah untuk mempercayai orang lain selain daripada diri sendiri. Sungguh besar nilai dan harga yang perlu dibayar untuk memastikan bahawa kepercayaan itu tidak dikhianati. Kepercayaan itu hadir daripada sebuah hubungan yang ikhlas, tanpa ada rasa sedikit pun keraguan terlintas. Sebab itu percaya membawa bahagia dan rasa diri berharga.


KISAH SILAM

Kisah silam yang dilalui oleh manusia tidak seharusnya dirungkai dan dicoret-coret isinya. Biarlah ia terus dikambus, dikambus oleh kebaikan dan amalan baik yang dilakukan. Manusia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan, dan perkara ini sering-kali diulang-ulang dari Quran bahawa kesilapan itu ditebus melalui sesalan. Sesalan yang bersungguh-sungguh dan bertekad untuk tidak melakukannya lagi, iaitu TAUBAT.

“Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah.”

Mengapa kita suka membaca isi silam orang lain? Adakah perkara itu sebuah keseronokan atau sebuah kelucuan yang harus kita sebar-sebarkan? Ataupun mungkin kita suka mencungkil-cungkil rahsia orang lain yang tersembunyi, kemudian dihebahkan kepada orang lain untuk merendahkan atau menghina seseorang itu? Islam melarang perbuatan mencungkil rahsia yang tersembunyi , kemudian menyebarkannya kepada umum. Perbuatan itu dikategorikan sebagai mengumpat/ghibah.

Rasulullah pernah bertanya makna mengumpat kepada para sahabatnya. Kemudian para sahabatnya mengatakan tidak tahu. Kemudian Rasulullah berkata;

“Mengumpat adalah ketika engkau membicarakan mengenai saudaramu sesuatu yang dia benci.”

Kemudian ada sahabat bertanya:

“Wahai Rasulullah, bagaimana kalau yang kami katakan itu betul-betul ada pada dirinya?”


Baginda menjawab;

“Jika yang kalian katakan itu benar, bererti kalian telah mengumpatnya. Namun jika apa yang kalian katakan itu tidak benar, bererti kalian telah memfitnahnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Berdasarkan hadith di atas, walaupun sesuatu perkara yang kita sebar-sebarkan itu sekalipun benar, tetapi tidak disukai oleh empunya diri maka ia termasuk dalam kategori mengumpat. Amat malang dan besar dosanya kepada sesiapa yang tergolong dalam golongan ini, kerana mereka yang tergolong dalam golongan ini disamakan dengan orang yang memakan daging saudaranya, sesuai dengan firman Allah;

“Janganlah sebahagian kalian mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kalian akan merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat dan Maha Penyayang.”
(al-Hujrat; ayat 12)


YANG TERSEMBUNYI TETAP TERSEMBUNYI


Rasulullah tidak pernah menghebahkan atau membuka keburukan orang lain yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi, walaupun baginda mengetahui keburukan orang tersebut melalui pemberitahuan dari orang lain atau dari perlaku perbuatan tersebut. Hal ini dapat kita selami melalui sebuah hadith yang direkodkan Imam Muslim.

Diceritakan bahawa ada seorang lelaki datang berjumpa Rasulullah, kemudian dia berkata;

Wahai Rasulullah, aku mengubati seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (meraba-raba) , cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu.”

Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya; “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”.

Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan terus berlalu pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah dalam surah al-Hud ayat 114;

“Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat”.

Kemudian ada seorang bertanya kepada rasulullah, “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah?” Jawab Nabi saw, “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Jangan keliru atau terkeliru, Islam memang mengharamkan perbuatan yang mendekati kepada zina, lebih-lebih lagi zina. Tetapi Islam juga mengharamkan kita mendedahkan aib orang lain, iaitu perbuatan dosa yang dilakukan secara sembunyi-sembunyi dan tidak mengancam kepada keselamatan awam disamping perlaku tersebut berusaha untuk menyembunyikannya.

Al-Imam Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya yang bertajuk ‘Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam’, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq, ada menyatakan “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Bagaimanapun, jika pelakunya melakukannya secara sembunyi-sembunyi dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintip atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemungkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis “barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….”

Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemungkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemungkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi kerja seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman Ilahi itu lebih ringan bagi orang menutupi kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya.

Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Muslim dan Bukhari, “Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)”. Justeru, tiada seorang pun mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran- kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riyak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kedekut dan lain-lainnya. Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah-selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Manakala hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah”.


PERINGATAN

Usahlah kita menilai dan menghukum seseorang itu berdasarkan kisah-kisah silam mereka. Usahlah kita bersangka buruk di atas kekhilafan yang pernah mereka lakukan. Usahlah menghina atau merendahkan darjat mereka di atas kehinaan yang pernah mereka lakukan. Tetapi nilailah kehidupan mereka pada masa kini, adililah mereka atas sikap dan perlakuan mereka pada hari ini, dan hukumilah mereka di atas apa yang mereka dipertanggungjawabk an pada masa kini. Pandanglah dengan pandangan segar, pandangan masa depan tanpa menoleh ke arah peristiwa atau titik-titik hitam di belakang hari.

Moga peringatan ini dititipkan kepada rakan-rakan kita yang lain, selain ia menjadi nasihat dan azimat kepada diri kita sendiri, kerana kehidupan itu ada fasa-fasanya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha mengasihani” (al-Hujrat)





USAH MERUNGKAI PERIBADI
Yussamir Yusof
editOr : mawaryangtinggi