Assalamualaikum
kebanyakan dari kita (termasuk diri yang dhoif ini) masih tercari2 apa sebenarnya politik dan islam?
dan masih ramai dariipada kita, penyokong2 Parti Islam Semalaysia juga masih kurang memahami apa yang diperjuangkan melalui parti islam ini...
Maka di sini terdapat sedikit artikel yang menjelas gerakan/halatuju dan matlamat asal sebuah gerakan yang disinonimkan dengan PAS di kawasan timur tengah, iaitu Ikhawanul Muslimin...
Di sini pengasasnya, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan mengapa kita memperjuangkan politik dan negara Islam...
Apakah sebenarnya politik yang disandarkan pada Islam sebenarnya?
Apakah pula ciri2 negara Islam yang sebenarnya?Adakah negara pimpinan UMNO ini negara Islam?
Kita ikuti penjelasannya dari petikan2 sebuah buku seperti di bawah:


PEMIKIRAN POLITIK IMAM HASSAN AL BANNA PERKARA ASAS DALAM AGENDA KEBANGKITAN UMMAH :
Dr Abdul Hamid al Ghazali
Bab 3: Pembentukan Negara Contoh


MUKADIMAH

Terlebih dahulu sebelum saya menjelaskan pemikiran politik yang akan menentukan halatuju agenda kebangkitan dan proses pembinaan sebuah negara berdasarkan pandangan Ustaz al-Banna, elok saya kemukakan di sini apa yang dimaksudkan dengan politik dan juga negara secara ringkas.


Takrif Politik


Politik mengandungi beberapa maksud antaranya, kaedah untuk memerintah dan mentadbir sebuah negara.

Politik juga ialah kuasa atau keupayaan untuk memperolehi apa yang dikehendaki.

Politik juga merujuk kepada kaedah berdiplomasi dan mencapai kata sepakat.

Dalam buku al-Siyasah al-Hakimah, Ibnu Qayyim mentakrifkan politik sebagai tindakan yang membawa manusia lebih hampir kepada kebaikan dan jauh daripada kebinasaan, walaupun tindakan tersebut tidak dinyatakan oleh rasul dan tidak disebut oleh wahyu. Apa sahaja cara yang boleh mewujudkan keadilan, ia termasuk dalam agama ini.


Takrif Negara


Negara adalah pihak yang memiliki kedaulatan untuk menggunakan kekerasan (tindakan/peraturan) atau kuasa. Negara juga ialah suatu badan politik yang bebas untuk mentadbir kehidupan manusia dalam sebuah kawasan tertentu melalui beberapa institusi yang kekal. Pemerintah pula ialah kuasa yang sah.

Seterusnya, dalam dua tajuk berikut saya akan kemukakan secara ringkas beberapa landasan dan konsep menurut pemikiran politik Ustaz al-Banna yang memberikan gambaran menyeluruh tentang agenda kebangkitan ummah dan pembinaan sebuah negara.

Bahagian I – LANDASAN

Ustaz al-Banna telah menggariskan beberapa landasan yang membentuk pemikiran politik dalam agenda kebangkitan ummah ini.

Contohnya beliau menegaskan bahawa seorang muslim mestilah berpolitik berlandaskan Islam yang menjadi anutannya. Menurut beliau: “Seorang muslim tidak akan memilih Islam yang sempurna kecuali apabila dia menjadi seorang ahli politik; apabila dia meninjau segala masalah umatnya; apabila dia mengambil berat tentang nasib mereka dan peka dengan segala masalah mereka. Saya juga ingin jelaskan di sini bahawa segala batasan dan pemisahan yang wujud ini adalah suatu yang tidak dapat diterima oleh Islam. Setiap pertubuhan Islam perlu meletakkan aspek politik umat Islam sebagai agenda utama mereka. Jika tidak mereka perlu menilai semula fahaman mereka tentang Islam.” (BUAT MAHASISWA)


1. Kesyumulan Islam Bererti Gerakerja Politik adalah Wajib.


Bagi menegaskan hakikat ini, beliau menekankan bahawa kesyumulan Islam yang merangkumi agama dan sistem hidup sudah tentu merangkumi aspek politik. Beliau menyebut: “Kesan daripada kefahaman yang lengkap dan menyeluruh tentang Islam ini menyebabkan gagasan Ikhwan al-Muslimin mencakupi seluruh sudut perubahan yang diperlukan oleh umat Islam. Segala elemen perubahan yang wujud pada yang lain juga wujud pada Ikhwan. Dengan ini setiap orang yang mahukan perubahan, ikhlas dan bersemangat tinggi pasti akan mendapat apa yang diharapkannya di sini. Bersama Ikhwan, semua pencinta perubahan yang mengenali dan memahami matlamat Ikhwan akan menemui apa yang diimpikan. Tidak salah jika anda katakan bahawa Ikhwan al-Muslimin ialah: “Parti politik, kerana mereka menuntut supaya wujudnya pengislahan kepada sistem pemerintahan negara. Mereka turut menuntut supaya dikaji semula hubungan antara umat Islam dengan bangsa-bangsa lain di luar negara Islam. Mereka menuntut supaya masyarakat Islam dididik agar memiliki harga diri dan memelihara semangat perkauman Islam semaksimum mungkin.” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KELIMA)


2. Negara adalah Simbol Suatu Gagasan.


Beliau menegaskan bahawa melaksanakan Islam sebagai suatu cara hidup yang bersepadu akan hanya dapat dicapai melalui sebuah negara Islam. Beliau berkata: “Meletakkan negara sebagai wakil kepada gagasan (fikrah) ini dan bertindak sebagai penjaga gagasan ini. Negara ini juga bertanggungjawab mencapai matlamat gagasan ini dalam sebuah masyarakat dan kemudian menyampaikan gagasan ini ke seluruh manusia… “Menegakkan sebuah negara Islam yang bebas di bumi ini. Negara yang mampu melaksanakan hukum-hukum dan sistem sosial Islam. Sebuah negara yang dapat menampilkan ajaran Islam yang sebenar dan dapat menyebarkannya secara bijaksana kepada semua manusia… (ANTARA SEMALAM DAN HARI INI)


3. Seseorang Muslim Tidak Boleh Mengabaikan Aspek Pelaksanaan. (* tidak berteori semata-mata)


Di bawah tajuk “Kami dan politik”, Ustaz al-Banna menegaskan politik harakah adalah seperti memahami Islam yang sahih, melaksanakan ajaran Islam, memulihkan aspek pelaksanaan dan membina negara Islam. Menurut beliau: “Jika kami dikatakan sebagai pertubuhan politik atas dasar kami mengambil berat soal umat Islam ini, atau kerana kami berfahaman bahawa kuasa eksekutif dan maruah bangsa adalah sebahagian rukun atau fardhu Islam, atau kerana kami bekerja dengan penuh gigih untuk memperolehi kemerdekaan mutlak dan memulihkan badan pentadbiran, maka memang benar itulah kami.” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KEENAM)


4. Ummah Bertanggungjawab Menuntut Pemerintah Memenuhi Hak-hak mereka yang Diberikan oleh Islam.


Ustaz al-Banna menggalakkan umat Islam supaya menuntut hak-hak mereka yang diberikan oleh Islam termasuklah hak berpolitik. Beliau berkata: “Suatu perkara yang perlu saya katakan di sini ialah Ikhwan al-Muslimin tidak pernah merasakan mana-mana kerajaan yang ada pada zaman ini baik kerajaan yang sedia ada atau kerajaan sebelumnya atau mana-mana kerajaan sekalipun, telah memikul tanggungjawab ini atau menunjukkan kesediaan yang sebenar untuk mendokong gagasan Islam. Semoga umat Islam menyedari hakikat ini. Semoga mereka menuntut supaya kerajaan mereka melaksanakan hak-hak Islam. Dalam pada itu Ikhwan akan terus berusaha dan bekerja.” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KELIMA)


5. Memberi Kefahaman, Menyebarkan Dakwah dan Perjuangan Berlandaskan Perlembagaan adalah Cara yang Paling Selamat untuk Masyarakat.


Ustaz al-Banna telah menetapkan bahawa matlamat ini boleh dicapai dengan menyebarkan dakwah dengan cara yang terbaik dan nasihat yang berguna serta mengambil peranan yang proaktif dalam lapangan politik. Menurut beliau: “Wasilah atau wahana yang kita gunakan ialah, meyakinkan orang ramai, sebarkan dakwah dengan apa cara sekalipun… Seterusnya kita melangkah ke medan perjuangan mengikut lunas undang-undang dengan tujuan dakwah ini dapat diketengahkan ke institusi-institusi rasmi. Dengan ini dakwah akan dibantu dan didokong oleh kuasa yang efektif. Atas dasar ini, apabila tiba masa yang sesuai, calon-calon Ikhwan al-Muslimin akan tampil ke hadapan menjadi wakil kepada rakyat di badan-badan perwakilan rakyat. Kami amat yakin Allah akan membantu kami memperoleh kejayaan jika apa yang kami lakukan ini hanya demi keredhaan Allah. “…Sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamanya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;” Al-Hajj: 40 (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KEENAM)


6. Kerajaan adalah Salah Satu Rukun Islam.


Akhir sekali, Ustaz al-Banna secara tegas menyatakan pendirian Ikhwan tentang kerajaan. Menurut beliau kerajaan adalah salah satu rukun dalam struktur sistem Islam. Beliau berkata: “Islam yang diimani oleh Ikhwan al-Muslimin ini ialah Islam yang meletakkan kerajaan sebagai salah satu rukunnya. Islam yang bergantung kepada pelaksanaan sama seperti ia bergantung kepada pendidikan. Suatu ketika dahulu khalifah ketiga pernah berkata: “Allah akan menghalang dengan kuasa apa yang tidak boleh dihalang dengan al- Quran.” “Nabi s.a.w. meletakkan pemerintahan sebagai salah satu rangkaian Islam. Dalam buku-buku fikah kita, pemerintahan disenaraikan dalam masalah akidah dan asas, bukan dalam masalah fikah dan sampingan. Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan…” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KELIMA)


Ustaz al-Banna menegaskan bahawa semua hakikat ini lahir dari prinsip iaitu politik tidak boleh dipisahkan dengan Islam dan sistem sosial dalam Islam. Hakikat ini dapat dilihat dengan jelas dalam tulisan-tulisan beliau. Contohnya seperti berikut: Islam telah meletakkan suasana politik yang dapat memberikan kebahagiaan di dunia dan keuntungan di akhirat.

Ustaz al-Banna telah menjelaskan matlamat politik dalam Islam. Menurut beliau: “Wahai bangsa kami, janganlah istilah-istilah ini menutup mata kamu daripada menilai kenyataan. Janganlah nama-nama yang digunakan ini menutup semua kebenaran. Janganlah luaran itu menutup segala kebenaran. Islam sememangnya mempunyai dasar politik untuk membawa kebahagiaan di dunia dan kejayaan di akhirat. Inilah politik kami dan kami tidak ada pilihan lain. Oleh itu ketengahkanlah politik ini dan ajaklah orang lain berlandaskan politik ini nescaya kamu akan beroleh kemuliaan di akhirat. Kamu pasti akan memahaminya apabila sampai masanya.” (HALATUJU DAKWAH KITA)


Islam tidak memisahkan agama dengan politik. Ustaz al-Banna juga menegaskan salah satu nilai Islam yang tidak akan berubah ialah tidak memisahkan agama dengan politik. Beliau menyebut: “Jarang sekali anda bertemu dengan seseorang yang tidak memisahkan antara politik dan Islam apabila dia memperkatakannya. Kedua-dua perkara akan diletakkan di tempat yang berasingan. Bagi sesetengah masyarakat, kedua-dua perkara ini tidak boleh bersama. Oleh kerana itu dinamakan sesebuah pertubuhan sebagai pertubuhan Islam dan bukannya pertubuhan politik atau perhimpunan ini satu perhimpunan agama bukannya perhimpunan politik. Anda juga boleh lihat perlembagaan pertubuhan-pertubuhan Islam ada mencatatkan: “Pertubuhan ini tidak terlibat dengan soal politik.”

“Saudara, katakan kepada saya, jika Islam ini bukan politik, bukan sosial, bukan ekonomi dan bukan ilmu pengetahuan, jadi Islam ini apa? Adakah Islam ini hanya rakaat-rakaat yang dilakukan dengan hati yang kosong atau hanya sekadar lafaz umpama kata-kata Rabi’ah al-Adawiyah: “Istighfar yang memerlukan kepada istighfar.” Saudara adakah hanya kerana ini al-Quran perlu turun membawa suatu sistem yang lengkap. “…menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita Yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” An-Nahl: 89 (BUAT MAHASISWA)


Politik dan pemerintahan adalah di antara perkara khusus dalam syariat Islam dan tidak akan terpisah daripada asas yang lain. Ustaz al-Banna menjelaskan kedudukan politik sebagai sebahagian daripada perkara asas dalam syariat: “Islam yang suci ini meletakkan kerajaan sebagai salah satu elemen sistem sosial Islam kerana Islam tidak dapat menerima suasana yang tidak stabil. Islam juga tidak membenarkan masyarakat Islam hidup tanpa pemimpin… “Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu…” Al-Maidah: 49 “Sesiapa yang mendakwa agama ini (atau lebih tepat Islam) tidak menyentuh aspek politik atau politik tidak termasuk dalam bidang Islam, dia sebenarnya telah menzalimi diri sendiri atau menzalimi ilmunya. Saya tidak katakan dia menzalimi Islam kerana Islam adalah syariat Allah yang tiada sedikitpun salah silap dan cacat celanya. “Negara Islam mestilah dibina di atas asas dakwah supaya Negara ini mempunyai wawasan tersendiri, bukan sekadar sebuah jentera pentadbiran dan kerajaan yang beku dan kaku tanpa sebarang roh. Demikian juga dakwah mestilah diletakkan di bawah penjaga yang akan menjaga, menyebar, menyampai dan memantapkannya.” (KRISIS DALAMAN MENURUT PERSPEKTIF ISLAM: SISTEM POLITIK)


Mengabaikan aspek pemerintahan adalah jenayah sementara menuntut kewujudannya adalah wajib dalam Islam. Seterusnya Ustaz al-Banna mengingatkan tentang jenayah akibat mengabaikan pelaksanaan syariat Allah. Beliau menggesa para penggerak Islam agar berusaha mencapai matlamat ini: “Islam yang diimani oleh Ikwan al-Muslimin ini ialah Islam yang meletakkan kerajaan sebagai salah satu rukunnya. Islam yang bergantung kepada pelaksanaan sama seperti ia bergantung kepada pendidikan. Suatu ketika dahulu khalifah ketiga pernah berkata: “Allah akan menghalang dengan kuasa apa yang tidak boleh dihalang dengan al- Quran.” Nabi s.a.w. meletakkan pemerintahan sebagai salah satu rangkaian Islam. Dalam buku-buku fikah kita, pemerintahan disenaraikan dalam masalah akidah dan asas, bukan dalam masalah fikah dan sampingan. Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan… Mungkin kita boleh faham jika para reformis Islam merasa selesa dengan hanya berperanan sebagai penasihat dan pembimbing ketika mereka mendapati ada ahli politik dan pemerintah yang patuh kepada perintah Allah dan melaksanakan segala hukum-Nya, menyampaikan segala ayat-ayat dan hadis-hadis Nabi s.a.w. Namun hakikatnya seperti yang kita lihat, perlembagaan Islam berada di suatu tempat dan perlembagaan yang diguna pakai berada di tempat yang lain. Sikap para reformis Islam yang berpeluk tubuh tidak mahu menuntut supaya hukum Islam dijalankan merupakan suatu jenayah menurut Islam; Jenayah yang tidak akan dimaafkan kecuali dengan cara bangkit dan mengambil semula kuasa eksekutif daripada genggaman pihak yang tidak meyakini undang-undang Islam yang suci.” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KELIMA)


Kesederhanaan dan rasional ketika berhadapan dengan masalah pemerintahan. Akhirnya, secara terbuka beliau menjelaskan bahawa matlamat Ikhwan al-Muslimin bukanlah untuk mendapat kuasa pemerintahan sebaliknya matlamat mereka ialah melaksanakan syariat Allah. Tegas beliau: “Atas dasar ini, Ikhwan al-Muslimin tidak pernah menuntut kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Jika Ikhwan merasakan ada di kalangan umat ini yang bersedia memikul tanggungjawab dan amanah ini serta bersedia memimpin masyarakat berlandaskan ajaran Islam dan al-Quran maka Ikhwan akan menjadi jentera, pembantu dan pendokongnya. Jika tiada maka kuasa pemerintahan adalah sebahagian pendekatan Ikhwan. Mereka akan berusaha mengambil semula kuasa daripada genggaman setiap kerajaan yang tidak melaksanakan perintah Allah. “Atas dasar ini juga, Ikhwan amat waras dan amat berhati-hati untuk tidak menerima tanggungjawab kuasa ini dalam keadaan jiwa umat Islam di tahap sekarang ini. Perlu ada suatu tempoh yang diperuntukkan untuk menyebar dan mengetengahkan dasar-dasar Ikhwan. Dalam tempoh ini masyarakat dididik bagaimana untuk mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi.” (UCAPAN DASAR MUKTAMAR KELIMA)


Dengan landasan yang jelas dan nyata ini Ustaz al-Banna telah mengemukakan suatu pemikiran politik yang berlandaskan fahaman yang tepat tentang Islam. Agama yang merupakan panduan hidup yang lengkap dan bersepadu. Ia sekaligus menggariskan dasar dalam gerakan Ikhwan al-Muslimin. Dasar ini seterusnya mencorak agenda kebangkitan ummah dan proses pembinaan sebuah negara Islam yang unggul.